Merajuk Dengan Tuhan


Assalamualaikum, 
Dalam hidup ini pasti kita punya impian, cita-cita atau harapan. Terkadang impian kita terlalu tinggi sehingga tak tercapai dek tangan, namun ia bukanlah menjadi alasan untuk berputus harap dengan alasan tersebut. Begitu juga jika kita merasakan ada sesuatu yang amat mustahil untuk digapai kerana halangan-halangan yang 'gigantic' untuk diatasi. Tapi lupakah kita bahawa Allah itu Yang Maha Besar dari segenap hal? Ye termasuk juga masalah yang kita hadapi untuk mengapai cita-cita kita.


Pernah sekali, aku benar-benar mahukan sesuatu. Sesuatu yang hampir mustahil untuk aku capai dan terkadang aku terfikir yang impian dan harapan aku itu bermungkinan tidak akan tercapai walau sehebat mana pon aku berusaha. Namun aku pujuk hati, memujuk ia tentang adanya 'sesuatu' yang dapat memungkinkan impian aku itu berjaya dicapai. Lalu aku semat kemas dalam hati, perkukuh dalam jiwa bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Berkuasa, Dialah yang memegang hati manusia, yang mampu mengubah yang mustahil kepada tidak mustahil dan mampu membawa impian aku kepada realiti. 

Aku berusaha sehabis mungkin, menangis tatkala lelahnya memujuk rayu manusia dan bertikam lidah menuntut hak. Tapi aku masih kuat kerana aku percaya kejayaan itu pasti untuk yang berusaha. Orang melihat aku kuat, hebat dan tegak memperjuangkan cita tika sahabat lain sudah futur dan sudah jatuh tersungkur ke gaung bernama 'putus asa'. Ye aku kuat, aku kuat keranaNya, aku kuat kerana impian aku dan aku kuat kerana keluarga aku. 

Tapi manusia berbatas dan lemah. Sedang sahabat lain sudah lama mati daripada impian yang sama  dan mereka sudah jauh hanyut dibawa arus deras, di kala itu, aku mula jatuh dan berputus asa. Aku penat. Aku lelah. 

Dan aku berputus asa.

Ye, AKU MERAJUK DENGAN TUHAN. Aku yakin bahawa Allah akan menolong aku, dan impian aku mampu dicapai jika melihat kepada usaha aku. Aku tertanya, tidak cukupkah usaha aku? Tidak cukupkah untuk meyakinkan manusia-manusia itu? Tidak cukupkah? Kenapa Allah tidak membantu aku? Aku nekad! Aku merajuk dengan Allah, seperti anak kecil yang masam mencuka tatkala ibu tidak mahu belikan mainan atau coklat di pasaraya. Tapi seperti anak kecil itu juga, walau merajuk, bila ibu panggil, dia akan menyahut dan melakukan apa yang dipinta tapi hati masih merajuk! Begitu juga aku, aku melakukan apa yang menjadikan kewajipan kepada setiap muslim tapi hati aku merajuk. Aku mahu dipujuk! 

Tapi rajuk aku tidak lama. Aku mula yakinkan bahawa Allah pasti akan membuka jalan yang terbaik untuk aku dan sahabat aku. Kerana apa yang kita mahu kadang bukan yang terbaik untuk diri kita dan sungguh, Allah itu Maha Tahu. Rajuk aku reda, kerana hati aku tidak tertahan rindu pada Si Pemilik Hati aku.


Aku serahkan segalanya padaNya. Apa yang Dia tetapkan, aku akan cuba terima dengan hati yang lapang  dan redha dengan segala kehendakNya. Kita hambaNya dan selamanya begitu. 


Sekian.

1 Disember 2017(1.04 pagi)
-Hamba yang Merajuk
 

Copyright 2013 © CHN
for http://littledaies-port.blogspot.com/